5 Amalan Sepanjang Bulan Ramadan



5 Amalan Sepanjang Bulan Ramadan





Adakah kita semua teruja dengan kedatangan bulan ramadan? Laluilah bulan yang mulia ini dengan menjalani ibadah yang difardhukan dengan penuh keikhlasan dan rasa kehambaan. Ini kerana, Allah SWT telah menjanjikan ganjaran yang lebih baik di sana nanti.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud;
“Barangsiapa yang gembira dengan sebab kedatangan bulan Ramadhan, nescaya Allah Taala mengharamkan jasadnya daripada api neraka.”(Hadis Riwayat Ahmad)
Antara amalan yang boleh dilakukan sepanjang Ramadan ialah :

Mendirikan Ibadah Qiamullail

Sebaik bangun dari tidur, kita boleh mengambil masa selama 30 minit untuk mendirikan solat sebentar dan bermunajat kepada Allah SWT. Antara perkara yang boleh dilakukan ialah solat sunat tahajjud, membaca Al-Quran atau berzikir.

Bersahur

Setelah berqiamulail, jangan lupa untuk bersahur kerana dalamnya terkandung barakah (berkat) sepertimana hadis berikut;
“Makan sahurlah kerana sesungguhnya pada sahur itu terdapat keberkatan.”(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Solat Berjemaah

Menunaikan solat fardhu dan solat tarawih berjemaah di masjid atau surau amat digalakkan, lebih-lebih lagi ketika bulan Ramadan. Dan, terlebih baik jika amalan ini dapat diteruskan setelah habisnya Ramadan nanti.

Membaca Al-Quran

Bulan Ramadan adalah bulan diturunkan Al-Quran. Oleh itu, memperbanyakkan bacaan Al-Quran pada bulan ini amatlah digalakkan sepertimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW. Selain menanam azam dan tekad untuk khatam Al-Quran, usah dilupa untuk menghayati kandungannya. Berusahalah untuk membacanya sekalipun kita tidak fasih.

Menghulurkan Sedekah

Menghulurkan sedekah boleh diberikan dalam apa jua bentuk sama ada wang ringgit, pakaian, makanan atau keperluan asas lain kepada mereka yang memerlukan. Setiap amal kebajikan yang dilakukan ketika Ramadan ini ganjarannya berlipat kali ganda.
Banyak lagi amalan kebajikan lain yang boleh dilakukan dalam masa sehari kita berpuasa. Perkara di atas hanyalah sebahagian sahaja. Mudah-mudahan, kita dapat menjalankan ibadah ini dengan penuh penghayatan dan menjadikan 5 perkara di atas sebagai rutin harian sepanjang Ramadan.
Jika tidak mampu buat semua, buatlah mengikut kemampuan masing-masing sekalipun satu perkara. Insya-Allah. Moga bermanfaat.

CONVERSATION

0 comments:

Post a Comment

Back
to top